
Tapah: Keadaan cuaca tidak menentu termasuk awan berkelompok, tiupan angin kencang serta ruang operasi yang sempit dikelilingi pokok tebal menjadi antara cabaran utama dalam operasi udara mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih, Tapah.
Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hasrizal Kamaruzzaman berkata, operasi menggunakan pesawat MI-17 milik Pangkalan Udara Wilayah Tengah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) semalam melibatkan pelaksanaan teknik ‘winching’ bagi menurunkan dan membawa keluar anggota penyelamat.
Menurutnya, seramai 32 anggota pasukan penyelamat berjaya digerakkan menerusi proses menggunakan kabel di kawasan Kem Sukaneka.
“Cuaca pada waktu pagi agak baik, namun keadaan awan berkelompok dan angin kuat memberi cabaran kepada operasi. Keseluruhan proses winching di kawasan puncak melibatkan 32 anggota. Kawasan yang sempit dan dikelilingi pokok menyebabkan operasi menjadi lebih sukar kerana angin boleh mengganggu kestabilan winching sehingga menyukarkan kawalan pesawat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pusat Kawalan Hadapan (PKH) operasi SAR Gunung Batu Putih JBPM di Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, semalam.
Mohd Hasrizal berkata, kepantasan ketika proses menurunkan dan menaikkan anggota penyelamat amat penting bagi mengelakkan risiko kegagalan mekanikal atau masalah teknikal pada sistem hoist akibat peningkatan suhu.
Penggunaan sistem hoist dalam tempoh terlalu lama boleh menyebabkan suhu peralatan meningkat secara ekstrem dan berisiko menjejaskan fungsi mekanikal atau menyebabkan sistem tersangkut.
“Justeru, pemeriksaan berkala serta pemantauan rapi terhadap peralatan perlu dilakukan sepanjang operasi bagi memastikan kelancaran dan keselamatan misi,” tambahnya.
Mohd Hasrizal yang memiliki pengalaman selama dua dekad sebagai juruterbang dan pembantu juruterbang JBPM sebelum ini pernah terlibat dalam operasi SAR di Gunung Yong Yap pada 2023 serta tiga misi menyelamat di Gunung Tahan, Pahang.
Sebelum ini, pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, dilaporkan menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 pendaki lain dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung–Gunung Bah Gading–Gunung Batu Putih–Kuala Woh.
Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan berhenti berehat, namun Jaslinda dikatakan meneruskan perjalanan ke puncak sebelum kali terakhir dilihat oleh MGP pada 7.30 pagi, 24 Mei. — AlHijrah Online