Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

NAHAS SIMPANG RENGGAM: EMPAT SEKELUARGA DAN PEMANDU BMW MAUT, DUA KANAK-KANAK BERADA DI ZON MERAH – POLIS

DALAM NEGARA

NAHAS SIMPANG RENGGAM: EMPAT SEKELUARGA DAN PEMANDU BMW MAUT, DUA KANAK-KANAK BERADA DI ZON MERAH – POLIS

Polis turut menahan pemandu Mercedes Benz A250 selain merampas kenderaan terbabit untuk siasatan lanjut.

KLUANG: Tindakan pemandu dua buah kereta mewah yang memandu secara laju dan melulu telah meragut nyawa empat sekeluarga di Jalan Renggam-Kluang di sini, tengah hari semalam. 

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan mendapati kereta jenis BMW 530e dipandu lelaki berusia 22 tahun dalam perjalanan dari bandar Kluang menghala ke Simpang Renggam.

Katanya kereta terbabit dipandu secara laju dan melulu bersama sebuah lagi Mercedes Benz A250 yang dipandu remaja lelaki berusia 19 tahun.

“Siasatan mendapati BMW 530e terbabit hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh empat kenderaan.

“BMW 530e itu merempuh Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah lagi Mercedes Benz yang bergerak di laluan bertentangan. Selepas merempuh kenderaan terbabit, BMW 530e terbabas dan jatuh ke dalam gaung di seberang jalan.

“Rempuhan itu mengakibatkan pemandu Toyota Vios iaitu lelaki berusia 36 tahun dan isterinya berusia 33 tahun meninggal dunia. Turut terbunuh wanita berusia 73 tahun dan kanak-kanak perempuan 10 tahun.

“Kesemua mereka meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan badan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi. 

Bahrin berkata, pemandu BMW 530e yang terlibat dalam nahas itu turut maut ketika dalam perjalanan ke hospital bagi mendapat rawatan.

Sementara penumpang Perodua Alza iaitu kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 11 dan tujuh tahun cedera di kepala, kini menerima berada di Zon Merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, bagi mendapatkan rawatan. 

“Pemandunya pula lelaki berusia 43 tahun cedera di kaki. Pemandu Proton Wira, lelaki berusia 22 tahun cedera di mulut sementara wanita berusia 57 tahun yang juga pemandu Mercedes Benz cedera ringan.

“Kesemua mangsa cedera mendapat rawatan di hospital sama dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya.

Dalam pada itu Bahrin memaklumkan, polis turut menahan pemandu Mercedes Benz A250 selain merampas kenderaan terbabit untuk siasatan lanjut.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif bahan terlarang dan permohonan reman akan dibuat hari ini mengikut Seksyen 42 (1) akta sama, kerana memandu secara melulu hingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Orang ramai mempunyai maklumat berhubung kemalangan ini diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-7784222, 07-7766822 (hotline), 07-7784256 atau 014-365682,” katanya.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading