Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

PALESTIN GESA TEKANAN ANTARABANGSA, SUSULAN SEKATAN ISRAEL TERHADAP BANTUAN KEMANUSIAAN

DUNIA

PALESTIN GESA TEKANAN ANTARABANGSA, SUSULAN SEKATAN ISRAEL TERHADAP BANTUAN KEMANUSIAAN

ISTANBUL: Kementerian Luar Palestin menggesa masyarakat antarabangsa untuk “memikul tanggungjawab dan menekan Israel agar membenarkan aliran bantuan berterusan ke Gaza serta menghalang Tel Aviv daripada menjadikan kebuluran sebagai senjata untuk mencapai agenda politiknya.”

Trak bantuan di sempadan Rafah yang dihalang masuk oleh Israel. – AFP

ISTANBUL: Kementerian Luar Palestin menggesa masyarakat antarabangsa untuk “memikul tanggungjawab dan menekan Israel agar membenarkan aliran bantuan berterusan ke Gaza serta menghalang Tel Aviv daripada menjadikan kebuluran sebagai senjata untuk mencapai agenda politiknya.”

Menurut Anadolu Ajansi (AA), kenyataan itu dikeluarkan pada Ahad selepas Israel menghentikan kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah bergolak itu, hanya beberapa jam selepas fasa pertama perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan tamat.

Kementerian itu memberi amaran bahawa keputusan Israel akan membawa “kesan bencana di tengah-tengah keadaan kemanusiaan yang semakin meruncing, terutamanya sepanjang bulan Ramadan.”

Ia turut mengecam keras “pempolitikan bantuan dan penggunaannya sebagai alat peras ugut,” sambil menegaskan bahawa tindakan sedemikian hanya memburukkan lagi penderitaan lebih dua juta penduduk Palestin yang sudah pun berdepan genosid dan pengusiran.

Kumpulan Pejuang Palestin, Hamas mengecam sekatan bantuan itu sebagai “peras ugut murahan, jenayah perang, dan pelanggaran terang-terangan” terhadap perjanjian gencatan senjata.

Fasa pertama perjanjian gencatan senjata selama enam minggu, yang bermula pada 19 Januari, secara rasmi berakhir pada tengah malam 2 Mac. Bagaimanapun, Israel enggan meneruskan ke fasa kedua perjanjian yang bertujuan menamatkan perang di Gaza.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sebelum ini berusaha melanjutkan fasa pertukaran awal untuk mendapatkan lebih ramai tahanan Israel tanpa memenuhi syarat ketenteraan dan kemanusiaan dalam perjanjian itu.

Hamas menolak syarat itu dan menegaskan bahawa Israel harus mematuhi perjanjian gencatan senjata serta segera memulakan rundingan bagi fasa seterusnya, yang termasuk pengunduran penuh Israel dari Gaza dan penghentian perang secara menyeluruh.

Gencatan senjata itu sebelum ini telah menghentikan sementara serangan ketenteraan Israel, yang telah meragut lebih 48,380 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta memusnahkan Gaza. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Mohammad Zaim Bin Nor Zamani, Ketua Unit Kandungan Digital TV AlHijrah.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading