PALESTIN TEGAS, JADI DURI DALAM DAGING AS SERTA ISRAEL

KUALA LUMPUR: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas memberi amaran keras kepada Amerika Syarikat serta Israel untuk menamatkan peperangan yang sedang berlaku di bumi Palestin.

Mahmoud menegaskan bahawa rakyat Palestin tetap dengan pegangan mereka untuk tidak sesekali meninggalkan tanah air mereka.

“Saya menyampaikan kenyataan saya secara khusus kepada Amerika Syarikat dan Israel: Cukuplah! Tinggalkan kami! Kami akan tetap menjadi duri dalam daging anda!

“Kami tidak akan meninggalkan tanah air kami! Kami tidak akan meninggalkan negara kami! Tamatkan pencerobohan anda di tanah kami hari ini dan bukan esok,” tegasnya dalam pertemuan bersama pegawai tinggi Pertubuhan Pembebasan Palestin di Kota Ramallah, Tebing Barat.

Sementara itu, angka korban akibat serangan udara oleh rejim Zionis Israel semakin meningkat kepada 65 mangsa yang melibatkan orang awam serta komander Hamas.

Ketegangan yang berlaku di bumi Gaza berpunca daripada Zionis Israel, yang melakukan provokasi terhadap jemaah di Masjid al-Aqsa pada malam-malam terakhir bulan Ramadan.

Dalam masa yang sama, berlaku pengusiran penduduk Palestin di kawasan Sheikh Jarrah, Baitulmuqaddis Timur oleh tentera Israel.

Ia sekaligus memaksa campur tangan oleh Hamas serta angkatan kanannya, Bridged Al-Qasam bagi membalas serangan yang dilakukan rejim Zionis Israel.

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel melakukan serangan udara di bumi Gaza yang mana serangan kejam, melampau dan keterlaluan oleh Israel ini secara keseluruhan dan terang-terangan menyalahi undang-undang antarabangsa.–AlHijrah Online

Leave a Reply