PELAJAR TINGKATAN EMPAT LEMAS KETIKA MANDI DI PANTAI

MELAKA: Seorang pelajar lelaki tingkatan empat ditemukan lemas ketika mandi-manda di pantai Mutiara Kem Terendak, Sungai Udang, di sini petang semalam.

Mangsa, Faris Darwisy Mohd Faizal, 16, ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka pada 9.25 malam ini kira-kira 50 meter dari pantai dan tempat terakhir mangsa mandi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Christopher Patit berkata mangsa ke pantai bersama 14 pelajar dan dua guru Sekolah Menengah Kebangsaan Kem Terendak pada kira-kira 6 petang untuk meraikan hari terakhir guru pelatih yang mengajar di sekolah mereka.

“Ketika sedang mandi mangsa tiba-tiba dilihat terkapai-kapai dan hilang di laut tanpa sempat diberi bantuan oleh guru serta pelajar lain, yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Sungai Udang.

“Operasi mencari dan menyelamat (SARS) digerakkan membabitkan polis, bomba dan Pasukan Komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Mayat mangsa ditemukan pada 9.25 malam sebelum dibawa ke Hospital Besar Melaka untuk bedah siasat,” katanya. 

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JBPM Melaka Penguasa Kanan Bomba Mohd Hafidzatullah Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 6.30 petang. 

Menurutnya operasi SARS tersebut melibatkan 26 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu dan dibantu BBP Melaka Tengah.–AlHijrah Online

Leave a Reply