KOTA SETAR: Seorang anggota Tentera Darat putus kaki kanan selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Pinang Jaya menghala Bukit Pinang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Syed Basri Syed Ali berkata, kejadian tersebut difahamkan berlaku sekitar jam 2:30 petang melibatkan mangsa lelaki berusia 33 tahun yang menunggang motosikal dari arah Padang Kunyit menuju Jalan Bukit Pinang.
“Pemancu pacuan empat roda berusia 29 tahun dikatakan berhenti untuk membuang sampah di tong sampah yang berada di tepi jalan.
“Selepas selesai membuang sampah, pemandu itu membuat pusingan U hingga mengakibatkan mangsa melanggar pacuan empat roda itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, mangsa mengalami kecederaan parah sehingga kaki kanannya putus dari bahagian lutut dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Siasatan mendapati mangsa tinggal di Kem Tentera Darat Port Dickson di Negeri Sembilan manakala pemandu tersebut bekerja sebagai pemandu kedai runcit di kawasan Bukit Pinang, ujarnya.
“Hasil siasatan mendapati pemandu pacuan empat roda itu tidak memiliki lesen dan kenderaan itu milik majikannya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.—AlHijrah Online