Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

DUA LELAKI DITAHAN BANTU SIASATAN KES BUNUH IBU TUNGGAL DI SUNGAI DUA

DALAM NEGARA

DUA LELAKI DITAHAN BANTU SIASATAN KES BUNUH IBU TUNGGAL DI SUNGAI DUA

Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang wanita yang ditemukan mati, dipercayai dibunuh di kediamannya di tingkat satu Flat Sri Murni, Sungai Dua di Pulau Pinang semalam.

Sumber: Media sosial

BUTTERWORTH: Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang wanita yang ditemukan mati, dipercayai dibunuh di kediamannya di tingkat satu Flat Sri Murni, Sungai Dua di sini semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata kedua-dua lelaki itu ditahan beberapa jam selepas kejadian di sekitar daerah itu.

“Kedua-dua suspek direman hari ini bagi membantu siasatan kes itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata polis masih menunggu laporan bedah siasat mangsa yang dijalankan di Hospital Kepala Batas hari ini dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Semalam, media melaporkan mangsa berusia 41 tahun ditemukan dalam keadaan terbaring di atas katil di sebuah bilik dalam rumah berkenaan dengan kesan kelar pada lehernya.

Difahamkan, kejadian itu dimaklumkan kepada pihak polis oleh jiran pada 1.40 tengah hari selepas mangsa, yang juga seorang ibu tunggal tidak memberi sebarang respons meskipun pintu rumahnya didapati terbuka manakala pagar jeriji berkunci.

Mangsa dikatakan mengambil upah menghantar beberapa pelajar yang tinggal di flat berkenaan ke sekolah dan menetap di rumah itu bersama anak lelakinya yang berusia 15 tahun.

Sementara itu, Azizee dalam kenyataan mengesahkan polis menahan seorang lagi lelaki warga Myanmar yang menjadikan keseluruhan tangkapan sebanyak tiga suspek bagi membantu siasatan kes itu.

Beliau berkata sepasukan polis menahan tiga lelaki berusia 38 hingga 45 tahun di kawasan Bukit Mertajam serta Kubang Semang dalam tempoh 24 jam hasil maklumat serta risikan bagi membantu siasatan. 

Menurut Azizee, siasatan mendapati ada antara suspek yang ditahan itu mengenali mangsa dan polis masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengetahui motif sebenar insiden itu.

“Kesemua lelaki itu kini direman tujuh hari sehingga 11 Feb bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Seorang daripada suspek yang ditahan itu positif dadah jenis ketamin dan dua lelaki tempatan yang ditahan dipercayai mengenali antara satu sama lain,” katanya.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading