Connect with us

ALHIJRAH NEWS

PEMIMPIN POLITIK JANGAN BERTELAGAH, BEREBUT KUASA TITAH SULTAN SELANGOR

DALAM NEGARA

PEMIMPIN POLITIK JANGAN BERTELAGAH, BEREBUT KUASA TITAH SULTAN SELANGOR

Baginda menegaskan bahawa perbezaan pendirian dan fahaman politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama demi kepentingan negeri dan rakyat.

Sumber Gambar: BERNAMA

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah kepada pemimpin politik supaya tidak bergaduh, bertelagah atau berebut kuasa sehingga mencetuskan perpecahan sesama sendiri.

Baginda juga bertitah supaya segala usaha dan perhatian seharusnya diberikan kepada pembangunan negeri, kesejahteraan rakyat serta kebajikan terhadap golongan yang memerlukan pembelaan.

Sultan Selangor menegaskan bahawa perbezaan pendirian dan fahaman politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama demi kepentingan negeri dan rakyat.

“Tanggungjawab kepimpinan hendaklah dilaksanakan penuh amanah, dengan mendahulukan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi mahupun kelompok politik,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Menerusi hantaran itu juga, Sultan Sharafuddin mengingatkan bahawa kemajuan Selangor perlu disertai keharmonian masyarakat dan kestabilan pentadbiran.

Baginda bertitah para pemimpin hendaklah memelihara sikap saling menghormati serta mengutamakan perbincangan yang membina dalam menangani sebarang perbezaan.

Menurut hantaran itu, Sultan Sharafuddin berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin dan doa selamat sempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Baginda kemudian menunaikan solat Jumaat bersama-sama rakyat jelata.

Pada majlis itu, baginda berkesempatan bertemu dan bersantap dengan dua bekas Menteri Besar Selangor iaitu Dr Mohamad Khir Toyo dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Menteri Besar Selangor ketika ini, Datuk Seri Amirudin Shari.

“Pertemuan ini mencerminkan keprihatinan berterusan Sultan Selangor terhadap hala tuju negeri dan kehidupan rakyat, di samping memperlihatkan hubungan baik antara institusi diraja dengan kepimpinan pentadbiran negeri, termasuk mereka yang pernah menggalas tanggungjawab tersebut,” menurut hantaran berkenaan.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading