
SEREMBAN: Seorang pendakwah bebas yang juga pempengaruh media sosial, Abdullah Abdol Razak, 40, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Lah, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 34 pertuduhan pecah amanah wang milik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumlah lebih RM13 juta.
Beliau turut didakwa atas 17 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM1.56 juta.
Abdullah membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan.
Bagi pertuduhan pecah amanah, Abdullah didakwa secara tidak jujur melepaskan harta berkenaan dengan melanggar Fasal 10 Perlembagaan Pertubuhan Rezeki Infaq Malaysia (PRIM) yang menetapkan cara amanah tersebut perlu disempurnakan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan meluluskan pembayaran wang berkenaan ke beberapa akaun bank, termasuk akaun miliknya sendiri tanpa kebenaran Mesyuarat Agung PRIM.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 28 Februari 2023 hingga 31 Mac 2026 di sebuah bank di daerah ini.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sama, Abdullah turut berdepan 17 pertuduhan memindahkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.56 juta daripada beberapa akaun bank, termasuk miliknya, ke beberapa akaun bagi tujuan pembayaran pembelian emas.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 18 Mei 2024 hingga 24 Februari 2026 di lokasi sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Dalam prosiding sama, Setiausaha PRIM, Noor Sahira Abdullah, 30, turut didakwa bersubahat dengan Abdullah melakukan pecah amanah jenayah terhadap harta PRIM.
Mahkamah menetapkan 28 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes. — AlHijrah Online