
PUTRAJAYA: Urusan cetakan MyKad di seluruh negara dijangka mengalami gangguan sementara bermula esok( 26 Ogos ) hingga Isnin (31 Ogos) susulan peralihan kepada MyKad generasi baharu.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata, pihaknya kini sedang melaksanakan peralihan daripada struktur MyKad sedia ada kepada kad pengenalan generasi baharu.
Sehubungan itu, JPN menasihati orang ramai yang tidak mempunyai keperluan mendesak supaya menangguhkan sementara urusan penukaran atau penggantian MyKad sepanjang tempoh berkenaan.
“Bagi permohonan MyKad kali pertama untuk kanak-kanak berusia 12 tahun, ibu bapa atau penjaga juga digalakkan menunggu seketika bagi membolehkan anak menerima MyKad generasi baharu apabila pengeluarannya bermula dalam masa terdekat,” menurut JPN dalam kenyataan hari ini.
JPN menghargai kesabaran dan kerjasama orang ramai sepanjang proses peralihan itu serta memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul.–AlhijrahOnline