PENGANGGUR DIREMAN UGUT CEDERA ADIK, BAKAR KERETA DAN RUMAH KELUARGA

BACHOK: Seorang penganggur direman selama empat hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret Bachok, bagi membantu siasatan ugutan jenayah untuk mencederakan adik kandung dan membakar kereta serta rumah keluarganya.

Lelaki berusia 30 tahun itu direman hingga Khamis untuk siasatan mengikut beberapa seksyen, antaranya Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1957, dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958//

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin ketika dihubungi selain ugutan jenayah, suspek turut disiasat kerana membawa senjata tajam dan merbahaya.

Media sebelum ini melaporkan, polis berjaya menahan seorang lelaki yang bersenjatakan pisau dan pemutar skru ketika dia bersembunyi di sebuah kedai cermin mata di Jelawat , Bachok, semalam.

Lelaki itu melarikan diri daripada polis yang cuba menahannya di sebuah rumah selepas mendapat laporan daripada adiknya bahawa lelaki itu mahu mencederakan dan membakar kereta serta rumah.

Suspek kemudian melarikan diri sejauh hampir tiga kilometer sebelum memasuki kedai cermin mata.

Kejadian itu tular di media sosial di mana orang ramai mendakwa lelaki itu mengamuk dan masuk ke sebuah kedai cermin mata dan menjadikan pekerja di situ sebagai tebusan.

Polis bagaimanapun menafikan perkara itu, sebaliknya semua pekerja sudah keluar menyelamatkan diri sebaik suspek memasuki kedai berkenaan. –AlHijrah Online

Leave a Reply