PENTERNAK LEMBU, PENIAGA IKAN BERDEPAN HUKUMAN GANTUNG

SEREMBAN: Dua individu masing-masing penternak lembu dan peniaga ikan berdepan hukuman gantung sampai mati, kerana didakwa membunuh rakan sekampung mereka, di Pekan Kampung Air Kuning Linggi Port Dickson, dua minggu lalu.

Kedua-dua tertuduh yang bersaudara itu dihadapkan ke dua mahkamah berasingan di Port Dickson dan Seremban pagi tadi, yang mana mereka juga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas ayah si mati.

Mengikut pertuduhan, tertuduh, S. Vickna Raja, 32, merupakan peniaga ikan, dan saudaranya, R. Kalaichelvam, 45, yang bekerja sebagai penternak lembu, didakwa membunuh mekanik, A. Kannan, 44.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu antara 12 Oktober kira-kira jam 6.30 petang hingga 13 Oktober jam 8 pagi, di Pasar Mini Jalan Linggi, Kampung Air Kuning.

Untuk perbuatan itu kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, yang boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas ayah si mati, V Arumugam, 70 tahun, kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, yang boleh dikenakan hukuman penjara selama 20 tahun dan denda atau sebat, jika disabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan bagi setiap pertuduhan yang dibacakan di dua mahkamah berasingan.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kedua-dua kes pada 8 Disember dan 25 Disember ini dan kedua-dua tertuduh diperintahkan untuk dihantar ke Penjara Jelebu bagi tahanan reman penjara. –AlHijrah Online

Leave a Reply