PENGANGGUR HINA ISLAM DIPENJARA ENAM BULAN, DENDA RM10,000

KOTA BHARU: Seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara enam bulan serta denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan mengina agama Islam di Facebook pada 17 Julai lalu.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman selepas tertuduh Syaidinar Abu Bakar, 36, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Menurut pertuduhan, tertuduh secara sedar dengan memuat naik rakaman video berdurasi 4 minit 13 saat yang jelik sifatnya dengan niat menghina Islam.

Kesalahan tersebut dilakukan di Lot 532A Kampung Bagan Chekok, Pulau Chondong, Machang pada 17 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(A) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu tertuduh memohon hukuman terhadapnya diringankan, namun Wan Nurul Hanini memohon hukuman setimpal dikenakan mengambil kira tertuduh menghina agama dan boleh mencetuskan ketidak amanan dalam masyarakat.

Pada masa yang sama ia boleh memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak memandang ringan isu seperti ini.

Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000, dan jika gagal bayar denda tertuduh akan dipenjara enam bulan lagi.

Difahamkan tertuduh gagal membayar denda.–AlHijrah Online

Leave a Reply