DUA BERADIK QARI, QARIAH RAIH KEJAYAAN DALAM IHTIFAL KAFA KEBANGSAAN 2022
KOTA BHARU: Dua beradik Qari dan Qariah dari negeri Melaka, Ahmad Azfar Azraie, 10, dan kakaknya ‘Arifah Azraie, 13, mencipta kejayaan dalam Ihtifal KAFA Kebangsaan (IKK) 2022.
Menerusi perkongsian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Facebook, Azfar diumumkan sebagai Johan Tilawah al-Quran sementara ‘Arifah memperoleh tempat ketiga dalam pertandingan yang sama.
“Mereka mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500 dan RM300 berserta piala iringan.
“’Arifah merupakan anak keempat dan Azfar anak kelima dari tujuh orang adik beradik,” dalam hantaran di Facebook JAKIM, hari ini.
IKK 2022 kali ketujuh ini berlangsung di Hotel H Elite, Kota Bharu, Kelantan pada 23 dan 24 Julai.
Sebelum ini, Azfar turut mencipta kejayaan selepas merangkul Naib Johan Tilawah Antarabangsa Tijan Nour anjuran negara Qatar, baru- baru ini sementara ‘Arifah mendapat Naib Johan IKK kali keenam pada 2021.
Dua beradik tersebut adalah anak pasangan Johan Qari dan Qariah Tilawah al-Quran peringkat negeri Melaka pada 2021 iaitu Azraie Abdul Hak dan Sarrul-Munirah Haris.
Menurut Azraie, kejayaan anak-anak beliau itu didorong oleh pengalaman mereka yang banyak menyertai pertandingan tilawah dan sering bertalaqqi dengan guru al-Quran.
“Setiap hari mereka diasuh dengan al-Quran, Alhamdulillah kejayaan yang diperoleh diharapkan dapat mendorong lebih ramai golongan muda mengenai kaedah bacaan al-Quran dengan betul.
“Saya berharap agar anak-anak ini akan menjadi penyambung perjuangan keluarga ini dalam melahirkan generasi al-Quran,” katanya.—AlHijrah Online
Pingback: AHMAD AZFAR AZRAIE JOHAN MUSABAQAH MAZAMIR DAWUD PERINGKAT ANTARABANGSA – ALHIJRAH ONLINE