KUALA LUMPUR: Penggali kubur, Roslee Ali, 63, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Frontliner sempena Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1443H/2021M, hari ini.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memaklumkan Anugerah Tokoh Frontliner pertama kali diperkenalkan pada sambutan Ma’al Hijrah tahun ini.
Menurut JAWI, Roslee merupakan seorang penggali kubur yang berkhidmat di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak Taman Selaseh sejak tahun 2011 hingga kini.
“Roslee terlibat dalam urusan pengebumian jenazah COVID-19 semenjak pandemik itu mula melanda negara.
“Dia pernah menyediakan sekitar 40 liang lahad dalam sehari,” katanya.
Selain Roslee, Pengarah Jabatan Kesihatan WP Labuan, Dr. Ismuni Bohari juga dipilih sebagai Anugerah Tokoh Frontliner.
Pemilihan pemenang yang dibuat Jawatankuasa Panel Pemilihan Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1443H selepas mengambil kira sumbangan individu dalam bidang masing-masing ke arah memperkukuhkan syiar dan syariat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan.
Ia berdasarkan kriteria seperti daya kepimpinan dan teladan, sumbangan kepada masyarakat, sumbangan kepada organisasi serta sumbangan peringkat negeri.
Bagi Anugerah Tokoh Utama Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1443H dianugerahkan kepada Mantan Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mejar Jeneral Datuk Kamarudin Mamat.
Sementara itu, JAWI turut mengumumkan bagi penerima Anugerah Tokoh Korporat diberikan kepada Pengarah Urusan Ramly Food Processing Sdn. Bhd, Datuk Ramly Mokni, manakala Anugerah Tokoh Pendakwah Kreatif diterima Pengacara dan Personaliti TV, Ahmad Fedtri Yahya.
Penerima Anugerah Tokoh Mualaf pula diberikan kepada Nur Maisarah Leong Yoke Keen yang merupakan Pembantu Mubaligh, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pengumuman Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1443H yang disiarkan secara langsung dalam rancangan Assalamualaikum di TV AlHijrah pagi tadi telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. – AlHijrah Online