PENIAGA DITAHAN JUAL MAKANAN KEPADA KAKI PONTENG PUASA

KUALA TERENGGANU: Dua peniaga wanita ditahan di lokasi berbeza selepas dikesan menjual makanan bungkus kepada kaki ponteng puasa di Marang dan Besut.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Md Adnan Abdullah berkata, salah seorang peniaga itu yang berusia 57 tahun telah ditahan Pegawai Penguatkuasa Syariah jam 11.45 pagi pada Rabu, di Besut.
Memetik laporan Sinar Harian, difahamkan peniaga tersebut telah mengambil kesempatan dengan menjual makanan kepada kaki ponteng seawal jam 8.30 pagi sejak awal Ramadan lalu.
“Tangkapan dilakukan hasil intipan di mana peniaga berkenaan didapati telah menjual makanan secara bungkus kepada beberapa lelaki yang dipercayai tidak berpuasa.
“Wanita tersebut ditahan di bawah Seksyen 19(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 atas kesalahan tidak menghormati Ramadan yang berdepan hukuman denda tidak lebih RM2,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

Sementara itu seorang lagi peniaga wanita ditahan atas kesalahan sama di Marang pada jam 11 pagi hari Khamis.
Katanya, perbuatan wanita itu dikesan dilakukan selepas beberapa intipan dilakukan oleh Pegawai Penguatkuasa Syariah daerah Marang.
“Hasil intipan mendapati beberapa pelanggan telah datang ke kedai tersebut untuk membeli makanan secara bungkus,” katanya.
Tangkapan tersebut dilakukan ketika JHEAT melancarkan operasi Ops Ramadan yang dijalankan pada Rabu dan Khamis lepas.
Md Adnan menegaskan, umat Islam perlu mengambil kesempatan yang ada pada bulan Ramadan untuk menunaikan kewajipan berpuasa.
“Umat Islam diwajibkan menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Sebagai peniaga pula jangan sesekali mengambil peluang untuk menjual makanan kepada kaki ponteng puasa kerana ia dilarang dalam agama dan undang-undang,” katanya.—AlHijrah Online