IFTAR PERDANA DAPUR IT’AM RAMADAN RAIKAN ASNAF

KUALA LUMPUR: Kira-kira 200 golongan asnaf diraikan dalam Program Iftar Perdana Dapur It’am Ramadan 1443H pada Khamis anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Menurut kenyataan dikeluarkan JAWI, golongan asnaf dan memerlukan yang dirai tinggal di sekitar kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang, PPR Sri Sarawak, PPR Sri Perak, PPR Seri Laksamana.

Selain pek juadah berbuka, asnaf yang terlibat turut menerima sumbangan barangan keperluan asas makanan JAWI Food Bank (JFB) seperti beras, minyak masak dan gula serta wang tunai dengan keseluruhan kos berjumlah RM32,000.

Turut diraikan dalam Program Iftar Perdana Dapur It’am Ramadan semalam ialah Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan di sekitar Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur.

Majlis tersebut diadakan di Dataran Helipad, Taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur dengan disempurnakan oleh Pengerusi MAIWP Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan dihadiri Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Sepanjang bulan Ramadan ini, JAWI dan MAIWP mengedarkan 123,600 pek juadah berbuka puasa secara percuma melalui program Dapur It’am Ramadan 1443H.

Inisiatif yang dimulakan sejak dua tahun lalu berkonsepkan agihan makanan bermasak kepada asnaf, B40 yang tinggal di PPR dan Projek Perumahan Awam (PPA) serta golongan yang memerlukan setiap hari sepanjang bulan Ramadan.

Pelbagai menu masakan disediakan secara bergotong-royong melalui 70 buah masjid dan surau di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan peruntukan berjumlah RM1,236,000. — AlHijrah Online

Leave a Reply