MASJID BAHARU UNTUK PENDUDUK JELEBU

JELEBU: Sebuah masjid baharu di Jelebu dengan kos RM8.8 juta sedang dalam pembinaan dan dijangka siap 25 Mac 2024 setelah hampir empat tahun pembinaannya tertangguh.

Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata masjid dengan nama Masjid Daerah Jelebu berkeluasan satu hektar itu bakal memanfaatkan seramai 1,000 jemaah bagi melakukan ibadah di ruang yang selesa selain aktiviti komuniti berkaitan.

“Masjid ini dijadualkan dibina pada 2018 setelah mendapat kelulusan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak, namun ia tertangguh seketika berikutan menghadapi beberapa kekangan termasuk pertukaran pentadbiran dan peruntukan yang tidak mencukupi.

“Bagaimanapun, setelah pelbagai pendekatan dan rundingan dijalankan maka kerajaan hari ini melalui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberikan kelulusan dan bajet mencukupi, oleh itu saya harap pembinaannya dapat dijalankan tanpa sebarang masalah,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah masjid berkenaan di sini hari ini.

Jalaluddin yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan berkata masjid itu juga dibina di atas tanah kawasan Kompleks Pentadbiran Agama Daerah Jelebu sekali gus memudahkan pihak berkaitan untuk memantau dan menguruskan masjid berkenaan.

Beliau berkata masjid sedia ada juga sudah terlalu lama usianya dan berada di atas bukit dengan kawasan parkir sudah tidak boleh menampung jumlah jemaah yang berkunjung ke masjid berkenaan.

“Keadaan sebegitu tidak sesuai untuk jemaah dan kariah di sini maka pembinaan masjid baharu sangat diperlukan, kedudukan masjid lama pula akan diputuskan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri,” katanya. – AlHijrah Online

Leave a Reply