Penunjuk perasaan bertahan di sekitar pejabat Bawaslu

JAKARTA, 23 Mei – Kumpulan penunjuk perasaan dilaporkan masih berhimpun berhampiran Pejabat Badan Pengawas Pemilu (Bawaslu) di Jakarta dan pihak polis berada dalam keadaan siap siaga.
Tinjauan di lokasi pada jam 2.43 pagi (waktu tempatan) mendapati penunjuk perasaan bertumpu di sekitar Jalan Wahid Hasyim, kira-kira 100 meter dari pejabat Bawaslu yang terletak di Jalan MH Thamrin.
Difahamkan, penunjuk perasaan bertindak membaling batu dan mercun ke arah petugas keselamatan menyebabkan gas pemedih mata terpaksa dilepaskan bagi melerai ketegangan.
Sinar Harian yang memetik laporan agensi berita menyebutkan rusuhan membantah keputusan rasmi pilihan raya Indonesia yang diumumkan pada Selasa lalu kini memasuki hari ketiga.
Laporan setakat ini mengatakan enam maut sementara beratus yang lain cedera ekoran rusuhan ganas tersebut.