
JAKARTA: Ratusan penunjuk perasaan yang menyertai demonstrasi anjuran kumpulan mahasiswa di Jakarta Pusat bersurai secara aman kira-kira 7 malam waktu tempatan selepas berhimpun selama hampir enam jam, semalam.
Ketua Perhubungan Awam Polis Metropolitan Jakarta, Pesuruhjaya Kanan Budi Hermanto berkata, demonstrasi itu berakhir dengan selamat tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Susulan penyuraian peserta, pihak keselamatan mula membersihkan lokasi di sepanjang Jalan Jenderal Sudirman selain melaksanakan lencongan trafik bagi mengurangkan kesesakan di kawasan berkenaan.
Terdahulu, peserta yang kebanyakannya berpakaian kuning mula berkumpul di beberapa lokasi di Jakarta Pusat sekitar 1 tengah hari bagi menyertai demonstrasi di bawah sepanduk “Merebut Kemerdekaan”.
Kumpulan itu mengemukakan lapan tuntutan, termasuk penurunan harga barangan asas dan bahan api, reformasi tanah, pemulihan bencana yang lebih pantas serta penamatan amalan rasuah, pakatan sulit dan nepotisme.
Demonstrasi yang pada asalnya dijadualkan berlangsung di Bulatan Hotel Indonesia (HI) kemudiannya dipindahkan ke beberapa lokasi lain, termasuk kawasan berhampiran Kompleks Parlimen dan Istana Presiden bagi mengelakkan gangguan aliran trafik di pusat bandar.
Dalam perkembangan sama, Budi berkata polis menemukan sebilah pisau pada seorang individu ketika demonstrasi berlangsung.
Pemeriksaan berasingan turut menemukan sebilah parang di sebelah tempat duduk pemandu sebuah ambulans yang ditahan ketika melalui kawasan tunjuk perasaan.
Beliau berkata, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan berhubung penemuan barangan berkenaan. — AlHijrah Online.