PERBUATAN BAKAR AL-QURAN PERLU DIKENAKAN TINDAKAN TEGAS

KUALA LUMPUR: Tindakan biadap ahli politik Sweden-Denmark, Rasmus Paludan yang membakar naskah Al-Quran di Stockholm kelmarin mesti dibantah, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Katanya tindakan provokasi itu telah menyalahgunakan prinsip kebebasan bersuara dengan menceroboh Al-Quran yang menjadi kitab suci agama Islam.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menggesa pemerintah Sweden agar mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan provokatif tersebut yang bertujuan untuk mewujudkan ketidaktenteraman masyarakat dunia.

“Kami juga menyeru seluruh masyarakat menghormati kemuliaan agama Islam, membudayakan dialog dan menyemarakkan nilai-nilai kehormatan sejagat bagi mewujudkan keharmonian hidup masyarakat dunia hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ahli politik Sweden itu juga telah membuktikan kesungguhan Malaysia untuk menentang sebarang bentuk keganasan dan kebencian khususnya Islamofobia.

Sebelum ini Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm dan bertindak membakar Al-Quran yang mencetuskan kemarahan dunia Islam.

Tindakan itu dipercayai selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). – AlHijrah Online

Leave a Reply