
Sumber Gambar: BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya kerja-kerja baik pulih kuarters Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi Land dipercepatkan bagi membolehkan kawasan itu disediakan untuk tujuan perumahan.
Perdana Menteri berkata beliau telah membincangkan perkara itu dengan Pengerusi Jawatan Kuasa Pemandu Sungai Besi Land Tan Sri Mohd Hassan Marican, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semasa lawatan beliau hari ini.
“Saya telah meminta Tan Sri Hassan dan Datuk Bandar, (serta) Hannah Yeoh untuk menyegerakan pemulihan untuk kita sediakan rumah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Kuarters TUDM Sungai Besi di sini hari ini.
Pembangunan Tanah Rizab Melayu berkeluasan 20.23 hektar di Bandar Malaysia itu sedang dirancang agar selaras dengan visi kerajaan yang lebih meluas untuk mentransformasikan kawasan itu kepada hab perniagaan antarabangsa yang rancak.
Strategi itu menekankan mengenai model bandar yang seimbang dan inklusif, dengan menggabungkan zon kediaman berkelompok yang terletak berhampiran kemudahan komuniti utama seperti masjid serta pembangunan bersepadu berpandukan prinsip Malaysia MADANI.
Selain itu, pelan berkenaan bertujuan untuk menjadikan kawasan ini sebagai destinasi pelancongan budaya dengan mengetengahkan warisan Melayu dan pada masa sama memastikan elemen ekonomi, sosial dan budaya disepadukan secara menyeluruh dalam pelan induk keseluruhan.
Sementara itu, Ketua KLCC Development Sdn Bhd Wan Shamilah Wan Muhammad Saidi berkata projek itu melibatkan kerja-kerja pengubahsuaian dua blok pangsapuri yang pada asalnya untuk anggota TUDM yang mempunyai 160 unit atau 80 unit bagi setiap blok.
“Ini adalah lawatan Perdana Menteri untuk meninjau plot pertama Tanah Rizab Melayu di Sungai Besi Land. Kami mempunyai komitmen seluas 20.23 hektar, dan ini adalah 4.05 hektar yang pertama,” katanya.
Berdasarkan maklumat sebelum ini, fasa pertama itu akan menyediakan 160 unit kediaman dengan purata keluasan 1,267.8 kaki persegi seunit yang menyasarkan golongan profesional muda Melayu di Kuala Lumpur.
Bagi memastikan pelaksanaan dan reka bentuk pembangunan mencapai piawaian tertinggi, projek berkenaan dikawal selia oleh Jawatan kuasa Pemandu Sungai Besi Land.
Pemilihan pelan induk pula dilaksanakan menerusi pertandingan reka bentuk antarabangsa dua peringkat yang rapi, dengan penilaian daripada Juri Induk Antarabangsa sebanyak 15 anggota.
Panel itu menggabungkan kepakaran di peringkat antarabangsa dan pemahaman mengenai konteks tempatan yang dipengerusikan oleh Mohd Hassan dan turut dianggotai Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, (penasihat hartanah kepada Petronas, bekas pengarah eksekutif UN-Habitat dan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur) selain wakil utama sektor swasta dan awam. — AlHijrah Online.