Connect with us

ALHIJRAH NEWS

LANGGAR PELAJAR DI LINTASAN PEJALAN KAKI, PENGHANTAR MAKANAN DIDAKWA

DALAM NEGARA

LANGGAR PELAJAR DI LINTASAN PEJALAN KAKI, PENGHANTAR MAKANAN DIDAKWA

Penghantar makanan yang tular selepas melanggar seorang pelajar di lintasan pejalan kaki didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan memandu secara tidak cermat. Dia mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM2,000.

SHAH ALAM: Seorang penghantar makanan yang tular selepas motosikal ditunggangnya melanggar seorang pelajar di lintasan pejalan kaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memandu secara tidak cermat.

Muhammad Haziq Izzuddin Ruslan, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Haziq yang menunggang motosikal jenis Yamaha didakwa memandu kenderaan berkenaan di jalan raya tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya terhadap pengguna jalan raya lain.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan kemalangan membabitkan seorang pejalan kaki di Persiaran Saujana 4, Daerah Sungai Buloh pada jam 12.08 tengah hari, 28 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM10,000 serta penjara sehingga 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Alia Anisa Khairus Masnan mencadangkan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi memohon jumlah jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya perlu menanggung ibu bapanya yang tidak bekerja.

“Dia tidak mempunyai pendapatan tetap, maka jumlah yang tinggi akan menyukarkan keluarga untuk mengumpul wang bagi tujuan jaminan. Selepas kejadian, dia tidak melarikan diri dan berada bersama mangsa di tepi jalan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis sebulan sekali.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 November depan.

Isnin lalu, video berdurasi 60 saat yang tular memaparkan seorang pelajar yang baru keluar daripada sebuah kenderaan dilanggar penunggang motosikal ketika sedang melintas di lintasan berkenaan.

Rakaman itu turut memaparkan pelajar terbabit berguling di atas jalan akibat rempuhan, manakala penunggang motosikal berkenaan turut terjatuh. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading