
PUTRAJAYA: Dua individu tular berkaitan insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, bukan sebahagian daripada pasukan operasi yang menjalankan pemeriksaan terhadap seorang warga asing.
AKPS dalam kenyataannya memaklumkan, insiden itu berlaku pada 28 September 2026 ketika Mohd Shuhaily meninjau tahap kesiapsiagaan operasi AKPS di KLIA sempena ketibaan delegasi dan kru Formula 1 Bahrain Grand Prix 2026.
Katanya, dalam tinjauan berkenaan Mohd Shuhaily bersama pasukan operasi turut melaksanakan aktiviti penguatkuasaan terhadap kegiatan individu warga asing yang disyaki terlibat dalam aktiviti “ulat” di kawasan KLIA.
“Ini adalah berdasarkan aduan dan dakwaan orang ramai terhadap berlakunya peningkatan aktiviti penyeludupan bahan terlarang dan kontraban hampir setiap hari di KLIA.
“Pengoperasian ini merupakan aktiviti penguatkuasaan pertama yang dilakukan oleh AKPS bersama pasukan Aviation Security (AVSEC) KLIA dan dilaksanakan secara menyeluruh dan konsisten.
“Susulan operasi tersebut, seorang warganegara asing telah dikenalpasti dan dibawa ke ruangan bagasi untuk pemeriksaan lanjut,” jelasnya.
AKPS turut menjelaskan proses pemeriksaan dan temu bual pada ketika itu melibatkan pasukan operasi AKPS bersama Aviation Security (AVSEC) KLIA sahaja dan tidak melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau mana-mana agensi penguatkuasaan yang lain.
Video tular semasa pemeriksaan adalah melibatkan dua individu lain yang bukan terdiri daripada pasukan operasi dan telah memasuki ruangan bagasi berkenaan tanpa disedari pegawai serta merakam sesi temu bual antara Ketua Pengarah AKPS bersama warganegara asing tersebut tanpa kebenaran menggunakan telefon bimbit masing-masing.
“Tindakan tersebut telah menimbulkan provokasi yang mana telah menjejaskan kewibawaan operasi serta individu yang terlibat secara langsung di dalam operasi tersebut.
“Ekoran insiden tersebut, kedua-dua individu berkenaan telah membuat satu laporan polis sehari selepas kejadian, dan laporan kedua, dua hari selepas kejadian yang kemudiannya disusuli dengan tular klip video rakaman di media sosial,” katanya.
Sementara itu, Mohd Shuhaily turut membuat satu laporan polis berhubung tohmahan, rakaman dan penyebaran video berkenaan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh, termasuk berkaitan keadaan rakaman tersebut diperoleh dan disebarkan.
Penyebaran rakaman tersebut juga dipercayai mempunyai unsur berniat jahat serta cubaan menjejaskan imej dan reputasi Mohd Shuhaily sebagai Ketua Pengarah AKPS serta agensi ini, tambahnya.
“AKPS menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa. Sehubungan itu, orang ramai diminta agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan selesai,” katanya.—AlHijrah Online