Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

PERHIMPUNAN AGUNG PBB TUNTUT GENCATAN SENJATA SEGERA DAN TANPA SYARAT DI GAZA 

DUNIA

PERHIMPUNAN AGUNG PBB TUNTUT GENCATAN SENJATA SEGERA DAN TANPA SYARAT DI GAZA 

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu meluluskan resolusi yang menuntut gencatan senjata segera, tanpa syarat dan berkekalan di Gaza serta pembebasan semua tawanan yang ditahan dalam konflik itu, lapor Agensi Anadolu.

Sumber Gambar: AFP

HAMILTON: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu meluluskan resolusi yang menuntut gencatan senjata segera, tanpa syarat dan berkekalan di Gaza serta pembebasan semua tawanan yang ditahan dalam konflik itu, lapor Agensi Anadolu.

Resolusi yang turut menekankan keperluan akses kemanusiaan segera, diluluskan dengan sokongan 158 undi, sembilan undi menentang, dan 13 berkecuali.

Dikemukakan oleh misi Palestin ke PBB, resolusi itu menggesa akses segera kepada perkhidmatan penting dan bantuan kemanusiaan untuk orang awam di Gaza. 

Sambil menolak sebarang tindakan yang bertujuan menyekat bekalan kepada rakyat Palestin, resolusi itu juga menyeru penghantaran bantuan tanpa halangan ke semua kawasan, termasuk utara Gaza yang terkepung.

Resolusi itu turut mengulangi kewajipan semua pihak untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa khususnya dalam melindungi orang awam termasuk wanita, kanak-kanak dan golongan rentan.

Ia juga mendesak semua pihak mematuhi “undang-undang antarabangsa berkaitan individu yang ditahan, termasuk membebaskan semua yang ditahan secara sewenang-wenangnya dan menyerahkan semua mayat.” 

Resolusi itu turut menyerlahkan keperluan mekanisme akauntabiliti terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa, sambil meminta Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengemukakan cadangan untuk memperkukuh usaha itu. 

Selain itu, resolusi yang diluluskan itu juga menegaskan komitmen PBB terhadap penyelesaian dua negara dan menyeru penyatuan Gaza dan Tebing Barat yang diduduki di bawah kuasa pihak berkuasa Palestin, sambil menolak sebarang cubaan perubahan demografi atau wilayah di Gaza. 

Dalam satu ketetapan penting, resolusi berkenaan “menuntut semua pihak melaksanakan sepenuhnya, tanpa syarat dan tanpa berlengah segala ketetapan dalam Resolusi Majlis Keselamatan 2735 (2024) berkaitan gencatan senjata segera.” –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading