Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

PINTU PAGAR BALAI POLIS DITUTUP 10 MALAM – SAIFUDDIN

DALAM NEGARA

PINTU PAGAR BALAI POLIS DITUTUP 10 MALAM – SAIFUDDIN

Arahan itu dilaksanakan bagi mengimbangi keperluan masyarakat untuk ke balai polis dan menjaga keselamatan anggota yang bertugas.

Gambar ARKIB. Sumber: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri mengarahkan pintu pagar balai polis di seluruh negara ditutup selepas 10 malam sebagai langkah keselamatan berikutan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram baru-baru ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata arahan itu dilaksanakan bagi mengimbangi keperluan masyarakat untuk ke balai polis dan menjaga keselamatan anggota yang bertugas.

“Kita perlu imbangi (langkah-langkah keselamatan) kerana balai polis adalah tempat rakyat mengadu, tetapi pada masa sama, balai polis juga menjadi sasaran, jadi kita imbangkan antara dua keperluan itu. 

“Insiden di Ulu Tiram, saat itu ada dua orang yang berurusan dengan anggota polis (di dalam balai) dan ketika itu serangan berlaku,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Datuk Seri Richard Riot (GPS-Serian) yang bertanyakan langkah-langkah memperketatkan keselamatan balai polis di Malaysia ekoran insiden 17 Mei lepas itu yang menyaksikan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia selepas diserang seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang.

Turut maut dalam insiden itu adalah suspek berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota polis, Koperal Mohd Hasif Roslan mengalami kecederaan akibat ditembak.

Saifuddin berkata ekoran peristiwa di balai polis itu, tindakan segera PDRM adalah memperketatkan prosedur operasi standard bagi semua kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), balai dan premis utama polis di bawah arahan pentadbiran.

Beliau berkata antara arahan pentadbiran perintah tetap Ketua Polis Negara adalah berhubung kekerapan mengadakan rondaan sekitar kawasan balai di samping keperluan meneliti keadaan fasiliti balai polis contohnya lampu dan pagar untuk ditambah baik.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading