PITT MAMA MINTA MAAF: FAUZIAH NAWI

“PITT mama minta maaf sebab tak dapat jaga Pitt macam mana yang mama janji dengan arwah baba,” itu antara kata-kata seniwati Fauziah Nawi sebaik memberitahu tentang jenazah arwah anaknya, Mohd Firdaus Mohd Hanif atau lebih dikenali dengan panggilan Pitt Hanif yang sudah ditemui kira-kira jam 5 petang tadi.
Fauziah yang membuat siaran langsung menerusi akaun Facebook miliknya memberitahu Pitt, 43, telah dijumpai dalam keadaan yang elok.
“Saya ingin mengumumkan jenazah anak saya, Mohd Firdaus Mohd Hanif, atau lebih dikenali sebagai Pitt Hanif telah ditemui dengan keadaan yang sangat elok.
“Ini diberitahu oleh adik saya Mohd Fauzi Nawi yang berada di lokasi. Menurut adik, pihak yang menjumpai jenazah anak memberitahu, mereka tak pernah jumpa jenzah secantik itu walaupun telah berada di dalam air selama dua hari.
“InnaLillahiwainnailaihiraji’un, berakhir sudah hidup anak saya di usia 43 tahun” ujarnya yang tidak dapat menahan sebak dan air mata.

Fauziah, 66, turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan dan berusaha mencari anaknya yang lemas ketika memancing di Jambatan Gemuncur Kampung Mela, Kuala Lipis apabila bot fiber yang dinaiki mereka pecah akibat terlanggar tiang jambatan tersebut. — SINAR HARIAN