Connect with us

ALHIJRAH NEWS

PM GESA SIASAT KEMATIAN DALAM TAHANAN DIJALANKAN SECARA TELUS

DALAM NEGARA

PM GESA SIASAT KEMATIAN DALAM TAHANAN DIJALANKAN SECARA TELUS

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah menghubungi Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes itu serta memastikan perkembangan siasatan dimaklumkan kepada keluarga Allahyarham.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan berhubung kematian Noorizwan Zulkefly dalam tahanan polis dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa kompromi.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata beliau telah menghubungi Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes itu serta memastikan perkembangan siasatan dimaklumkan kepada keluarga Allahyarham.

Perdana Menteri turut menzahirkan rasa simpati terhadap kesedihan dan keresahan keluarga yang masih menantikan penjelasan berhubung kematian Noorizwan.

“Saya mengambil maklum kehadiran keluarga Allahyarham Noorizwan untuk menyerahkan surat rayuan kepada saya hari ini, dan amat berdukacita atas pemergian Allahyarham serta memahami kesedihan dan keresahan keluarga yang menantikan jawapan,” katanya.

Anwar yang dijadual menghadiri beberapa program di Melaka hari ini berkata beliau telah mewakilkan pegawainya untuk menerima surat rayuan itu serta mendengar perkara dibangkitkan keluarga.

Media sebelum ini melaporkan polis masih menunggu laporan penuh Jabatan Kimia dan keputusan patologi bagi menentukan punca sebenar kematian lelaki itu pada 1 Oktober lepas.

Noorizwan ditahan Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 457 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Beliau kemudian dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz pada 30 September untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.52 pagi keesokan harinya. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading