PM HARGAI PENJAWAT AWAM POTONG GAJI BANTU KERAJAAN PERANGI COVID-19

KUALA LUMPUR: Solidariti penjawat awam untuk turut serta memberi sumbangan kepada negara bagi memerangi COVID-19 melalui potongan Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) dihargai Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya sumbangan oleh penjawat awam tidak termasuk petugas barisan hadapan dan kakitangan kerajaan Gred 1 hingga 28 itu akan dimasukkan ke Akaun Amanah Bencana COVID-19.

“Ini membuktikan kebersamaan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab bersama Kerajaan memerangi pandemik COVID-19.

“Solidariti ini juga adalah cerminan sokongan penjawat awam terhadap perjuangan para ‘frontliners’ yang berusaha tanpa henti untuk membendung dan melindungi kita semua daripada jangkitan pandemik COVID-19,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau.

Muhyiddin turut menzahir ucapan terima kasih kepada semua kakitangan awam yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sepanjang lebih setahun menguruskan pandemik COVID-19 ini. 

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali semalam berkata, sebahagian ITK bagi Pengurusan Tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56 serta ITKA bagi Gred 29 hingga Gred 41 yang dinikmati oleh penjawat awam ketika ini akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana COVID-19 dalam tempoh tiga bulan.

Sumbangan membabitkan lebih 800,000 penjawat awam dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta. — AlHijrah Online

Leave a Reply