PEMIMPIN HAMAS DITANGKAP TENTERA ISRAEL

Sumber Gambar: The Globe and Mail

BAITULMAQDIS: Seorang pemimpin Hamas, Jamal al-Tawil ditangkap tentera Israel di Tebing Barat selepas dituduh menubuhkan sebuah pangkalan untuk kumpulan pejuang Palestin di wilayah tersebut.

Tentera Rejim Zionis memaklumkan sebuah pasukan khas telah menangkap Tawil di bandar Ramallah pada lewat Selasa.

Tawil dikatakan mengambil bahagian yang aktif dalam mengendalikan protes-protes anti-Israel serta menubuhkan semula ibu pejabat Hamas di Ramallah.

Jurucakap Hamas, Hazem Qassem mengesahkan penangkapan pemimpin Hamas tersebut, lapor AFP.

Tangkapan berlaku selepas rejim Zionis Israel dengan Hamas bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata setelah 11 hari serangan udara dilancarkan Israel di kawasan Baitulmaqdis.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Hamas di Gaza, Iyad al-Bozom berkata, dua pejuang pergerakan tersebut syahid ketika cuba mematikan bahan bahan letupan milik tentera Israel di Gaza.

Israel telah menangkap berpuluh-puluh pejuang Hamas sejak beberapa minggu lalu di Tebing Barat termasuk beberapa pejuang pergerakan tersebut yang merancang bertanding dalam pilihan raya Palestin yang sepatutnya diadakan pada Mei lalu tetapi ditangguhkan oleh Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.—AlHijrah Online

Leave a Reply