POLIS AMBIL KETERANGAN USAHAWAN KOSMETIK PERSENDA AGAMA ISLAM

KOTA BHARU: Polis sudah mengambil keterangan seorang wanita yang merupakan usahawan kosmetik di Kelantan didakwa mempersendakan agama Islam, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, ACP Wan Khairuddin Wan Idris berkata, wanita berusia 30-an itu diambil keterangan pada Isnin lalu termasuk dua individu lain yang terbabit dalam video tersebut.

“Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Kita menganggap kes ini selesai kerana keterangan sudah diambil,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan polis menerima laporan mengenai sebuah video tular di media sosial berhubung seorang wanita yang mempersendakan agama Islam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Abdul Rahim Daud, dilaporkan berkata laporan diterima ibu pejabat polis (IPD) daerah ini pada jam 10.25 pagi Ahad lalu.

Pengadu mendakwa melihat satu rakaman video dikongsi dalam WhatsApp memaparkan wanita Melayu lingkungan 30-an menyatakan dia tidak suka sembahyang dan semua orang tidak solat pada 2021, katanya.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad meminta pihak berwajib menyiasat dakwaan wanita berkenaan yang mengeluarkan kenyataan tersebut.—AlHijrah Online

Leave a Reply