OPERASI KELUARKAN BANGKAI KAPAL SELAM KRI NANGGALA 402 DITAMATKAN

JAKARTA: Tentera Laut Indonesia menamatkan operasi mengeluarkan bangkai kapal selam KRI Nanggala 402 yang tenggelam di perairan Bali yang mengorbankan 53 nyawa, pada April lalu.

Jurucakap Tentera Laut Indonesia, Julius Widjojono berkata, operasi itu sudah tamat sambil menambah kapal selam itu ‘bersemadi’ di dasar laut.

Menurutnya, pasukan gabungan Indonesia-China menyelam sebanyak 20 kali untuk merakam gambar dan video serta mengumpulkan serpihan kapal selam yang tenggelam.

Tentera Indonesia turut memberitahu bahawa China telah menghantar kapal penyelamat bagi membantu usaha mengangkut kapal namun operasi itu bukan tugas yang mudah dan sangat berisiko.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada mayat kru kapal selam itu dibawa keluar.

ARTIKEL BERKAITAN SERPIHAN KAPAL SELAM DITEMUI, PETUNJUK KRI NANGGALA-402 TENGGELAM

Sebelum ini, kapal selam KRI Nanggala 402 buatan Jerman itu terputus hubungan selepas meminta kebenaran untuk menyelam semasa sesi latihan torpedo, lapor Reuters.

Namun ia ditemukan dalam keadaan pecah kepada tiga bahagian pada kedalaman lebih 800 meter dan usaha mengeluarkan bangkai kapal selam dilaksanakan.—AlHijrah Online

Leave a Reply