PM NEW ZEALAND BATAL PERKAHWINAN SUSULAN PENYEBARAN OMICRON

Sumber Gambar : AFP

WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern membatalkan majlis perkahwinannya sendiri selepas beliau mengumumkan sekatan COVID-19 yang lebih ketat bagi membendung penularan varian Omicron dalam komuniti.

Ardern meletakkan New Zealand dalam fasa Amaran Merah selepas kemunculan sembilan kes baharu Omicron membabitkan sebuah keluarga yang mengembara antara bandar untuk menghadiri majlis perkahwinan.

Salah seorang pramugari dalam pesawat dinaiki keluarga terbabit turut disahkan positif.

“Perkahwinan saya tidak akan diteruskan. Saya tiada beza dengan beribu-ribu rakyat New Zealand lain yang menerima kesan lebih dahsyat akibat pandemik ini,” katanya selepas memperincikan sekatan baharu termasuk had kehadiran 100 orang lengkap vaksin dalam setiap acara.

Susulan fasa Amaran Merah, New Zealand akan mengenakan peraturan pemakaian pelitup muka di dalam pengangkutan awam dan premis perniagaan serta mengehadkan jumlah individu dalam satu-satu perhimpunan mulai tengah malam Ahad.

Sekatan yang diperketatkan dijangka kekal sehingga sekurang-kurangnya akhir bulan depan.

New Zealand merekodkan 15,104 kes jangkitan Covid-19 dengan 52 kematian sejak pandemik bermula.

Negara tersebut melaksanakan sekatan sempadan yang ketat dan penutupan segera sejak dua tahun lalu. –AlHijrah Online

Leave a Reply