POLIS SIASAT KEJADIAN WARGA ASING DIPUKUL SEKUMPULAN LELAKI

KAJANG: Sejak semalam tular di media sosial video berdurasi selama lebih kurang 1 minit 21 saat tentang kejadian seorang lelaki warga asing telah dipukul oleh sekumpulan lelaki Melayu.

Kejadian dipercayai berlaku di kawasan kaki lima Kedai No. 28, Jalan Alam Jaya 19, Taman Alam Jaya, Batu 9 Cheras, Kajang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pasukan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah melihat video yang tular ini dan melakukan siasatan awal ekoran mempercayai tempat kejadian merupakan kawasan pentadbiran IPD Kajang.

“Hasil siasatan awal yang telah dijalankan, kejadian yang viral ini melibatkan mangsa seorang lelaki dipercayai warga asing telah dipukul oleh sekumpulan lelaki Melayu yang dikenali dengan nama Yusuf Azmi, Abang Ali dan beberapa orang pengikutnya yang belum dikenalpasti.

“Kejadian yang tular ini jelas merupakan satu kejadian kekerasan jenayah yang boleh disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan kejadian ini juga merupakan kejadian yang mengganggu gugat serta mendatangkan kekacauan kepada ketenteraman awam berikutan kejadian ini berlaku melibatkan kawasan awam yang terbuka,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau penelitian ke atas video ini juga mendapati, kumpulan lelaki Melayu yang tular ini telah melanggar beberapa prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berkumpul serta tidak menjaga penjarakan sosial.

Sehubungan itu kata Mohd Zaid, pihak Polis IPD Kajang telah membuat laporan Polis berhubung kejadian ini bagi tujuan siasatan lanjut pihak Polis.

“Berdasarkan kepada video yang tular ini, kes telah diklasifikasikan di bawah seksyen 147 Kanun Keseksaan.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara selama 2 tahun ataupun dikenakan denda ataupun kedua-duanya sekali,” katanya.

Bagi kesalahan melanggar SOP PKPB, kes juga disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana Balai Polis terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes di talian 019-665 5811. — AlHijrah Online

Leave a Reply