BAYI 11 BULAN MAUT JATUH DARI TINGKAT 3

KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan maut selepas terjatuh dari tingkat 3 kediaman keluarganya di Blok D, PPR Sri Aman, Jalan Aman Putra, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa dikatakan sedang bermain bersama abang, kakak dan sepupunya di atas katil bahagian atas bersebelahan dengan tingkap yang berada dalam bilik pertama rumah.
“Menurut pengadu katil telah dirapatkan ke bahagian tingkap untuk mengemas bilik tersebut.
“Tingkap di dalam bilik itu tidak mempunyai pagar dan katil telah diletakkan di tengah tingkap tanpa sebarang halangan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Eng Lai, siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam insiden tersebut.
Mangsa telah dibawa ibunya ke Hospital Selayang, Selangor untuk mendapatkan rawatan dan apabila tiba di Unit Kecemasan Hospital Selayang, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Mayat mangsa kemudian dirujuk ke Unit Forensik Hospital Selayang untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian.
“Hasil laporan bedah siasat yang dilakukan mendapati kematian berpunca daripada kecederaan parah di bahagian kepala akibat jatuh dari tempat tinggi.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” kata Eng Lai.
Polis Sentul menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-4048 2206, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan. — AlHijrah Online