POLIS TAHAN LELAKI CURI BEG, SAMUN

Gambar Hiasan

KOTA BHARU: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit dengan kes kecurian beg seorang jemaah lelaki di Masjid Muhammadi, Kota Bharu pada 26 April lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata suspek berusia 39 tahun ditahan kira-kira 3 petang semalam, selepas terbabit dengan satu lagi kes samun.

“Kira-kira 11.40 pagi semalam, suspek dipercayai menyamun seorang pesara kastam yang sedang memancing di saliran Sungai Budor. Suspek bertindak melarikan barangan milik mangsa dan melarikan diri bersama kereta Proton Saga milik mangsa.”

Kira-kira 3 petang, sepasukan polis telah berjaya menangkap suspek yang bersembunyi di kawasan semak di Jalan Kampung Sungai Keladi, yang jaraknya lebih kurang satu kilometer dari tempat kejadian. Kereta dan barangan milik mangsa turut dijumpai bersama suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Rosdi berkata hasil saringan air kencing mendapati suspek seorang penganggur positif dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan turut mendapati suspek merupakan individu yang dikehendaki kerana terlibat mencuri beg seorang jemaah lelaki di Masjid Muhammadi.”

Suspek telah direman tujuh hari bermula hari ini hingga 16 Mei bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.–AlHijrah Online

Leave a Reply