POLIS TAHAN TIGA SUSPEK KES CEKIK, TUMBUK PENUNGGANG MOTOSIKAL DI TEPI JALAN

KLANG: Polis semalam telah berjaya menahan tiga individu bagi membantu siasatan kes pukul seorang penunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat di Jalan Langat-Klang.
Ketua Polis Daerah Klang, ACP Cha Hoong Fong berkata dalam kejadian pada 1 Oktober kira-kira 7.15 petang itu, salah seorang suspek dipercayai telah menolak mangsa hingga terjatuh dari motosikal, mencekik serta menumbuk mukanya.
Suspek tersebut juga menendang perut dan kaki mangsa beberapa kali selain motosikal mangsa turut dirosakkan.
“Mangsa yang berusia 21 tahun telah membuat laporan di Balai Polis Klang pada 12.44 tengah malam 2 Oktober 2023.
“Pada hari sama laporan dibuat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang telah berjaya menahan tiga suspek berusia 28 hingga 39 tahun yang kesemuanya mempunyai dua rekod jenayah lampau dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua suspek mendapati suspek utama yang berumur 39 tahun positif dadah jenis methamphetamine.
Sususlan itu kertas siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 telah dibuka.
Terdahulu polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan khianat.
Permohonan reman kesemua suspek dibuat hari ini di Mahkamah Majistret Klang.
Kejadian pukul tersebut dipercayai berlaku selepas penunggang motosikal terbabit membunyikan hon pada sebuah kereta dinaiki tiga lelaki kerana memandu secara berbahaya.
Pergerakan mangsa kemudian dihalang pemandu kereta sebelum mangsa dimarahi dan dipukul salah seorang suspek.– AlHijrah Online