KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM100,000 untuk semua pendeposit Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) melalui Kempen Cabutan Siri WOW! Superheroes 2024.
Kempen itu antara usaha PTPTN mengajak ibu bapa yang merupakan ‘hero’ kepada anak-anak untuk bersama-sama memupuk budaya penabungan bermula seawal usia.
Seramai 181 orang pemenang akan dipilih melalui kempen ini dengan hadiah utama berjumlah RM10,000 untuk 1 pemenang dan hadiah saguhati berjumlah RM500 untuk setiap 180 pemenang
Pendeposit berminat untuk menyertai kempen yang bermula 1 September 2024 sehingga 31 Oktober 2024, hanya perlu membuka akaun atau membuat penambahan simpanan dalam tempoh kempen.
Setiap simpanan bersih RM50 bagi Simpan SSPN Prime akan mendapat satu cabutan, manakala bagi setiap simpanan bersih RM50 bagi Simpan SSPN Plus layak mendapat dua cabutan secara automatic.
Lebih menarik, kelebihan cabutan berganda juga diberikan kepada pengguna aplikasi myPTPTN dengan endeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan bersih RM50 melalui myPTPTN atau melalui potongan gaji atau debit terus akan mendapat lima cabutan.
Manakala pendeposit Simpan SSPN Plus yang membuat simpanan bersih RM50 melalui myPTPTN atau melalui potongan gaji atau debit terus pula akan mendapat sepuluh cabutan.
“Ibu bapa yang menabung seawal usia anak adalah superhero kerana mereka merupakan individu yang bertanggungjawab menyediakan sumber kewangan dan perancang utama untuk masa depan anak-anak termasuk mendidik anak mengenai pengurusan kewangan.
“Kekallah menjadi superhero sepanjang masa untuk masa depan anak dengan membuat perancangan kewangan di awal usia bagi memastikan generasi masa hadapan mereka mendapat pendidikan sempurna,” kata Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Selain itu katanya pendeposit bakal menikmati pelbagai keistimewaan dan manfaat menerusi Simpan SSPN selain berpeluang untuk memenangi hadiah yang lumayan sepanjang menyertai kempen ini.
Ujarnya Simpan SSPN merupakan satu-satunya produk simpanan yang menawarkan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun, memberikan perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, simpanan yang dijamin Kerajaan dan patuh syariah.
Sehingga 31 Julai 2024, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah berjumlah RM18.7 bilion dengan bilangan akaun sebanyak 6.5 juta.
Pembukaan akaun atau penambahan simpanan boleh dibuat secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN dan sebarang maklumat lanjut layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my. – AlHijrah Online