RAJA-RAJA MELAYU AKAN BERSIDANG PERHALUSI CADANGAN PM

GAMBAR ARKIB IHSAN ISTANA NEGARA

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hari ini bertitah akan bertemu dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata majlis itu bagi membincangkan dan memperhalusi syor-syor yang telah dikemukakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sesi menghadap Al-Sultan Abdullah semalam.

Sesi mengadap berlangsung selepas Muhyiddin mempengerusikan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri di Putrajaya pada pagi semalam.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam ini, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang telah dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri tersebut untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka Baginda untuk pelaksanaannya.

“Adalah dimaklumkan bahawa Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak COVID-19. Malah, Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini ini,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu tambah beliau, Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini ini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan tersebut.

“Seluruh rakyat turut dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugat ketenteraman negara yang kita cintai bersama ini,” katanya.

Selain itu ujarnya Al-Sultan Abdullah mengulangi titah nasihat Seri Paduka Baginda kepada rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara amalan kelaziman baharu dalam membantu pihak berkuasa memerangi COVID-19 demi keselamatan diri serta masyarakat.

Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi dari segala bentuk ancaman serta penularan COVID-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera. — AlHijrah Online

Leave a Reply