
GAZA: Ribuan rakyat Negara Haram Israel termasuk penjajah dan aktivis berhaluan kanan berarak menuju sempadan Gaza pada Ahad bagi mendesak kerajaan menghidupkan semula penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang musnah akibat perang.
Para peserta berhimpun berhampiran sempadan sebelum berjalan beramai-ramai menuju pagar yang menghadap utara Gaza. Bagaimanapun, pasukan keselamatan Israel dikerahkan bagi menghalang mereka daripada mara ke kawasan larangan.
“Kami berjalan hari ini untuk memberitahu kerajaan Israel dan menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa tanah ini milik kami dan Gaza benar-benar milik kami serta kami mahu kembali ke sana,” kata seorang peserta, Daniel Sellem.
“Kami pernah tinggal di sana sebelum kami dipindahkan pada 2005.”
Sellem berkata perarakan itu bertujuan memberi tekanan kepada kerajaan supaya membenarkan penjajah-penjajah itu kembali menetap di Gaza, lebih dua dekad selepas semua penempatan mereka di wilayah itu dikosongkan menerusi Pelan Pengunduran 2005.
“Kami cuba memberi tekanan kepada mereka, dan saya sangat berharap ia akan berjaya serta kami akan kembali tinggal di sana secepat mungkin,” katanya.
Seorang lagi peserta, Yechiel Greenblum, menyifatkan perarakan itu sebagai “permulaan” kepada kempen untuk mengembalikan komuniti Israel di wilayah pesisir berkenaan.
“Kami mengadakan perarakan besar kembali ke Semenanjung Gaza, kembali ke tempat orang Yahudi tinggal selama ratusan, ribuan tahun,” katanya sambil menambah bahawa pengunduran pada 2005 hanyalah bersifat sementara.
Greenblum turut mendakwa tiada alasan untuk menghalang orang Yahudi kembali menetap di utara Gaza.
Perarakan seumpama itu sebelum ini turut diadakan bagi memberi tekanan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, antara kerajaan paling berhaluan kanan dalam sejarah Israel, supaya menghidupkan semula penempatan Israel di Gaza, walaupun sebahagian besar wilayah itu kini tidak lagi sesuai didiami akibat lebih dua tahun peperangan.
Ketika ini, rejim Israel menguasai lebih 60 peratus kawasan Semenanjung Gaza, yang masih menyaksikan keganasan harian meskipun gencatan senjata antara Israel dan Hamas masih berkuat kuasa. — AlHijrah Online