RANGKA PAKEJ RANGSANGAN KHAS INDUSTRI PELANCONGAN ATAU RAMAI HILANG KERJA – BUMITRA

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) merayu kerajaan merangka Pakej Rangsangan Khas buat industri pelancongan dengan melaksanakan beberapa langkah khusus membela nasib 600 syarikat pelancongan dan ribuan kakitangannya yang terjejas akibat COVID-19.

Antara langkah dicadang ialah melanjutkan tempoh penangguhan pinjaman perniagaan daripada enam bulan kepada tempoh selari dengan berakhirnya wabak COVID-19 dan ekonomi pulih tanpa faedah bagi tempoh sukar berkenaan.

BUMITRA turut memohon agar syarikat pelancongan diberikan pinjaman tanpa faedah bagi menggantikan pinjaman berfaedah yang disytiharkan itu untuk tempoh lima tahun, dengan bayaran balik bermula dari tarikh wabak berakhir dan ekonomi pulih.

Presiden BUMITRA, Mohd Ali Ab Malek dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, pihaknya meminta kerajaan memansuhkan cukai pendapatan untuk tahun 2020 dari sektor pelancongan kerana ketidaktentuan perniagaan akan pulih sehingga suku keempat tahun ini.

“Ahli ekonomi meramalkan ekonomi akan meleset dan sekurang kurangnya 3.5 juta pekerja di sektor pelancongan akan hilang pekerjaan.

“Penyelesaian dari perkara di atas harus diberi perhatian khusus dan ini akan sedikit sebanyak membantu agensi pelancongan untuk kembali bangkit dan pulih lebih awal setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan dan wabak COVID-19 dihapuskan,” katanya dalam kenyataan yang dihantar kepada AlHijrah Online hari ini.

Mohd Ali berkata BUMITRA berharap satu bentuk bantuan khas bagi sektor pelancongan dengan mengambilkira cadangan diutarakan dapat dilakukan kerajaan bagi membela syarikat-syarikat pelancongan terjejas.

“Ramai akan hilang pekerjaan.  Kerajaan akan hanya bayar RM600 subsidi upah, ini terlalu sedikit memandangkan hampir keseluruhan pekerja-pekerja tinggal di bandar-bandar besar dan kos sara hidup amat tinggi.

“Syarikat yang tidak ada pendapatan akan tetap buang pekerja. RM600 terlampau sedikit untuk mereka terus membayar gaji.

“Sebagai contoh kerajaan Singapura membayar sehingga 75 peratus dari gaji pekerja syarikat (jika gaji SGD 4500, kerajaan Singapura akan bayar SGD 3,375 untuk tempoh 9 bulan).

“Kerajaan Malaysia hanya berikan subsidi selama tiga bulan, itu pun RM600 sahaja.  Ini sudah semestinya tidak cukup dan ramai pekerja akan hilang pekerjaan,” katanya.

Mengenai langkah penangguhan sumbangan ke Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan HRDF untuk tempoh enam bulan, beliau berkata BUMITRA merasakan ia tidak membantu sekiranya bayaran tertangguh itu perlu dijelaskan kemudiannya.

“Seharusnya tidak perlu sumbang sepanjang tempoh wabak sehingga pulih,” kata Mohd Ali.

Beliau berkata walaupun KWSP akan memperkenalkan program Khidmat Rundingan Majikan pada 15 April yang merangkumi pilihan penangguhan bayaran, penstrukturan dan penjadualan semula sumbangan majikan, ia akan menyukarkan syarikat yang hilang punca pendapatan dari Januari 2020 hingga ke satu tempoh yang belum pasti.

“Kami mohon kerajaan mengkaji semula dan mengadakan suatu Pakej Rangsangan Khas bagi Industri Pelancongan yang telah terjejas sejak penularan Wabak Covid-19 di Malaysia dan serata dunia.

“Kami menyambut baik dan berterima kasih terhadap usaha Kerajaan dalam membantu golongan yang terjejas melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun demikian, ianya adalah bersifat sementara kerana agensi pelancongan tetap akan tutup atau kecilkan operasi dan kakitangan terpaksa diberhentikan juga sekiranya tiada satu usaha yang tuntas dilakukan untuk mempertahankan agensi-agensi pelancongan dalam keadaan wabak /ekonomi yang amat mencabar ini,” kata Presiden BUMITRA itu.

Antara keluhan syarikat pelancongan yang terlibat dalam pengendalian pelancongan dalam negeri, luar negara, umrah dan haji adalah mereka kini terpaksa menanggung kos operasi syarikat dan membuat bayaran gaji walaupun perniagaan tidak menerima sebarang pendapatan.

Situasi sukar itu akan menyebabkan majikan tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa mengambil langkah mengurangkan pekerja atau menghentikan perniagaan sementara menunggu keadaan kembali pulih. — AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply