LEBIH 2,000 MAUT AKIBAT COVID-19 DI AS

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) merekodkan lebih 2,000 kematian akibat COVID-19, demikian menurut Pusat Sistem Sains dan Kejuruteraan (CSSE) Universiti Johns Hopkins.

Agensi berita Xinhua melaporkan sehingga jam 6:40 pagi waktu tempatan semalam, peta interaktif dikendalikan CSSE menunjukkan terdapat lebih 121,000 kes koronavirus di AS dengan jumlah 2,010 kematian.

New York kini mencecah 52,000 kes diikuti oleh New Jersey dan California, masing-masing dengan 11,124 dan 5,065 kes, demikian data terkini sistem itu.

Ekoran peningkatan COVID-19 yang berterusan, Presiden AS Donald Trump mencadangkan langkah kuarantin ke atas beberapa kawasan terjejas teruk.

“Sesetengah orang ingin melihat New York dikuarantin kerana ia adalah tempat paling terjejas, New York, New Jersey, mungkin satu atau dua tempat lain, beberapa bahagian Connecticut juga dikuarantin. Saya memikirkan tentang itu sekarang,” kata Trump kepada pemberita di Rumah Putih.

Gabenor New York, Andrew Cuomo dalam wawancara dengan CNN semalam mengatakan, beliau tidak percaya tindakan kuarantin New York adalah tindakan wajar dan menyifatkannya “perisytiharan perang persekutuan.”

“Ia akan menjadi kekacauan dan huru-hara,” kata Cuomo yang meminta penduduk New York untuk tidak keluar rumah.

“Ia betul-betul bertentangan dengan apa yang dikatakannya, saya tidak fikir ia adalah munasabah dan saya tidak fikir ia sah mengikut undang-undang,” katanya.

Kes COVID-19 kini melebihi 650,000 di seluruh dunia dengan lebih 30,000 kematian, manakala hampir 140,000 individu telah pulih dari penyakit itu. — Terjemahan AlHijrah Online/ Zamir Akmal Zambri

Leave a Reply