PKPD MUNGKIN DILAKSANA DI BEBERAPA KAWASAN DI SELANGOR – KP KESIHATAN

PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mungkin dilaksanakan di beberapa kawasan di Selangor, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ia berikutan negeri itu mencatatkan taburan bilangan kes jangkitan COVID-19 paling tinggi, setakat ini.

“Kalau kita lihat dalam taburan bilangan jangkitan yang paling tinggi ialah di Selangor. Dalam pada itu, kita (KKM) lihat kawasan mana dan zon mana yang tertinggi sekali.

“Jadi, kita sudah kenal pasti ada satu atau dua zon kawasan di Selangor yang mungkin kita akan ambil tindakan seperti mana tindakan diambil di Simpang Renggam, Kluang, Johor,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Beliau mengulas pertanyaan pemberita berkenaan hantaran KKM di Facebook yang memaparkan beberapa lokasi yang disenaraikan sebagai zon merah iaitu Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Klang di Selangor.

Turut tersenarai adalah Tawau, Sabah, Kuching, Sarawak dan Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Pada Khamis lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan dua kawasan iaitu Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang menjadi lokasi pertama dikenakan PKPD bermula 27 Mac, selepas 61 penduduknya dikesan positif COVID-19.

Ditanya perkembangan kes di dua kawasan berkenaan, Dr Noor Hisham berkata terdapat 97 kes positif baharu dilaporkan di daerah Kluang hari ini.

“Kes di Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid ada sebanyak 81 kes yang melibatkan empat orang daripada kluster Sri Petaling dan 77 orang yang lain adalah generasi kedua dan ketiga.

“Kes positif di luar Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid adalah 16 kes iaitu satu daripada kluster Sri Petaling dan 15 kes lagi adalah lain-lain,” katanya.

Tiada kes kematian dilaporkan berlaku di kedua-dua kawasan berkenaan, tambahnya. — BERNAMA

Leave a Reply