PKP DIPERKETATKAN DI TUJUH KAMPUNG BATU 21-24 SUNGAI LUI HULU LANGAT

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (EMCO) akan dikuatkuasakan di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor tengah malam ini selepas 71 kes jangkitan COVID-19 direkodkan di kawasan itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perintah kawalan itu akan membabitkan 3,918 penduduk setempat di 700 rumah.

Katanya, PKPD itu membabitkan tujuh kampung iaitu dua kampung orang asli dan tujuh kampung Melayu.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan terdapat 71 kes positif jangkitan COVID-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.

“Mengambil kira jumlah kes yang tinggi di sekolah tersebut, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (Enhanced Movement Control Order), arahan kedua selepas Simpang Renggam, di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut.

Beliau berkata langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari PKPD dikuatkuasakan hingga 13 April depan.

Melalui arahan PKPD itu, antara langkah yang diambil adalah semua laluan keluar masuk ke kawasan PKPD akan ditutup, semua penduduk dan pelawat yang berada di kawasan itu tidak dibenarkan untuk keluar rumah, semua aktiviti perniagaan dihentikan, makanan asas mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada penduduk oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD.

Ismail Sabri berkata bagi pelaksanaan perintah ini, semua penduduk diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas KKM serta mematuhi arahan pihak berkuasa.

Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 03-89254809 / 03-89114200. — AlHijrah Online

Leave a Reply