COVID-19: MENDEPANI CABARAN MINDA KELAS KETIGA


Penularan wabak COVID-19 telah memberi implikasi besar terhadap ekonomi dan sosial negara-negara di dunia hari ini. Ia membayangkan betapa dahsyatnya ancaman wabak ini sehingga melumpuhkan hampir 30 peratus ekonomi dunia dan menjejaskan lebih satu per tiga jumlah penduduk dunia yang berjangkit wabak ini sekiranya ia tidak dapat dibendung segera.
Malaysia seperti negara-negara terkesan lain mengalami ancaman serupa. Pertambahan jumlah mangsa wabak ini dijangka berterusan sehinggalah rantaian wabak COVID-19 dapat di atasi sepenuhnya.
Begitulah dengan usaha keras dan berterusan kerajaan untuk memastikan bahawa penularan wabak ini tidak menggugat tahap kesihatan rakyat Malaysia, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan untuk mengekang penularan wabak ini dan pemutusan rantaian wabak ini dalam satu tempoh yang ditetapkan.
Sepanjang tempoh ini juga, sekatan pergerakan bukan sahaja membendung pendedahan rakyat terhadap penularan wabak ini tetapi mendidik mereka menghadapi cabaran dan dugaan menghadapi gejala ini dengan pengawalan interaksi sosial secara fizikal yang boleh menjadi ancaman penularan COVID-19.
Malangnya sesetengah daripada masyarakat kita masih terbelenggu dalam pemikiran Minda Kelas Ketiga. Konsep pemikiran sebegini selalu dikaitkan dengan tingkah laku dan peradaban masyarakat di negara-negara dunia ketiga.
Walau bagaimanapun kebanyakan ahli sosiologi beranggapan bahawa kategori Minda Kelas Ketiga ini merujuk kepada kedangkalan, kecuaian atau kegagalan masyarakat memelihara tingkah laku dalam sistem peradaban yang diamalkan, menyebabkan mereka leka dan tercicir daripada praktis hukum peradaban yang dirancangkan kepada mereka.
Ini termasuklah sikap tidak menghargai kebersihan, keselamatan dan apa sahaja praktis rutin yang seharusnya mendatangkan keharmonian dan kerukunan dalam kehidupan mereka.
Berbanding dengan konsep Minda Kelas Pertama, masyarakat sesebuah negara akan bersikap lebih perihatin terhadap amalan persekitaran mereka, lebih cekap menguruskan hal-hal kebersihan, kesopanan dan profesionalisme dalam kalangan kakitangan, akhirnya akan menjuruskan masyarakat berfikiran progresif, maju dan dinamik seperti yang berlaku di negara-negara maju.
Dalam konteks Malaysia, hal ini telah digariskan dalam Wawasan 2020 dan yang terbaru Wawasan Kemakmuran Bersama yang bermatlamat untuk melahirkan masyarakat Minda Kelas Pertama untuk membina negara Malaysia yang maju.
Mustahil kita akan mencapai status negara maju walaupun pencapaian ekonomi, politik dan insfrastruktur kita mencapai tahap itu,tetapi peradaban sosial masyarakat kita masih di takuk kelas ketiga.
Lihat apa yang berlaku sekarang sewaktu kerajaan melaksanakan PKP untuk mengekang wabak penyakit Covid-19. Pelbagai garis panduan dan peraturan yang telah diwarwarkan, seolah-olah tidak diendahkan sebilangan masyarakat dan mereka bertindak untuk mencabar peraturan-peraturan yang dilaksanakan demi kebaikan mereka.
Golongan ini bukan sahaja membawa masalah pada diri mereka tetapi menyebabkan lebih ramai rakyat terdedah kepada ancaman wabak merbahaya ini dan meningkatkan lagi angka mangsa wabak ini dalam tempoh PKP.
Apakah kita sanggup menggadaikan kenikmatan yang kita peroleh hari ini dengan “membunuh” peradaban masyarakat semata-mata memuaskan perasaan tamak haloba sehinggakan tidak mengendahkan kepentingan dan keselamatan masyarakat yang lain?
Apakah ini yang dikatakan sebagai masyarakat prihatin dan bertanggungjawab terhadap kepentingan agama, bangsa dan negara?
Adakah kita mempelajari bahawa jumlah mangsa terkorban COVID-19 mencecah ratusan orang setiap hari di Itali dan Sepanyol adalah disebabkan kecuaian rakyat mereka tidak mengendahkan peraturan-peraturan dan kesan daripada wabak merbahaya ini?
Rasulullah SAW bersabda, “orang yang penyayang nescaya akan disayangi pula oleh Ar-Rahman (Allah). Maka sayangilah penduduk bumi, nescaya penduduk langit juga akan menyayangi kalian.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Sabda Rasulullah lagi, “iman itu 70 dan beberapa cabang, yang paling tinggi ialah kalimah La ilaha illallah, yang paling rendah ialah menyingkirkan gangguan dari jalanan.”
Tuntutan ajaran Islam supaya umatnya memelihara kebersihan dan keselamatan diri serta persekitaran kerana ia mencerminkan kerukunan imej Islam yang suci.
Sesungguhnya, malapetaka yang terjadi di China, Itali, Amerika dan sepelusuk dunia ini harus dijadikan ikhtibar bahawa rukun dan disiplin masyarakat mematuhi peraturan-peraturan kesihatan adalah kunci kepada kejayaan “memerangi” wabak penyakit ini.
Lihatlah selepas tempoh dua bulan perintah berkurung dilaksanakan di Wuhan, penduduknya kini bebas dan berjaya memerangi Covid-19. Ini kerana kepatuhan dan disiplin penduduknya terhadap peraturan-peraturan pencegahan wabak yang dilaksanakan Kerajaan China.
Sejajar dengan itu, advokasi terhadap budaya masyarakat Minda Kelas Ketiga di negara ini harus diperhebatkan lagi menjelang kemunculan fasa ketiga gelombang COVID-19 yang bakal kita tempuhi nanti.
Peringkat kesedaran dan keperihatinan terhadap kesan wabak pada tahap ini tidak memberi manfaat sepenuhnya, tetapi pelaksanaan peraturan-peraturan yang lebih ketat dan drastik harus diperkenalkan supaya pematuhan secara total dalam kalangan masyarakat dapat dilaksanakan.
Biarpun ramai orang akan mengkritik pendekatan ini, tetapi ia merupakan jalan terakhir untuk membenteras penularan wabak dan secara langsung mendidik masyarakat untuk menjadi warganegara yang lebih prihatin terhadap kepentingan bangsa dan negaranya.
Selain daripada peraturan-peraturan sivil yang dilaksanakan, kerajaan juga harus mengambil inisiatif untuk melaksanakan pendekatan advokasi secara kaunseling kepada golongan yang berpotensi terdedah kepada bahaya gejala wabak ini dan golongan yang menjadi mangsa kesan psikologi dan emosi disebabkan tempoh pelaksanaan PKP yang panjang.
Ini termasuklah menganjurkan sesi kaunseling bersemuka dalam talian kepada komuniti, perbanyakkan pendedahan maklumat terhadap penyelesaian secara berperingkat bagi memerangi wabak penyakit ini.
Ini bagi menghindari pemikiran masyarakat daripada perasaan panik, cemas dan tertekan menghadapi tempoh PKP dan menghadapi gelombang ketiga wabak ini nanti.
Di samping itu juga, strategi memerangi penularan wabak COVID-19 ini tidak berjaya sepenuhnya sekiranya kurang inisiatif dilakukan dengan membuat pemeriksaan ke atas warga pekerja asing seperti PATI yang banyak berinteraksi dengan warga tempatan.
Golongan ini melakukan pekerjaan rutin dan terlibat secara langsung dalam pembuatan makanan dan perkhidmatan pelanggan.
Sekiranya pemeriksaan kesihatan ke atas golongan ini tidak endahkan, dikhuatiri rantaian penularan wabak ini nanti tidak dapat dipisahkan dan akan menyumbang kepada implikasi yang lebih buruk kepada warga tempatan.
Justeru itu, menjadi tanggungjawab setiap warga masyarakat kita mempersiapkan pemikiran supaya kita dapat memahami pelaksanaan PKP dan mengadaptasi strategi-strategi penjagaan kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan dengan penuh kesedaran dan rasa tanggungjawab.
Inilah pengorbanan yang amat besar ertinya sekiranya setiap anggota masyarakat berjaya memainkan peranan untuk memelihara kesejahteraan dan kemakmuran negara yang sedang dilanda musibah.
Saya ingin memetik ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu membentangkan Pelan Pemulihan Ekonomi baru-baru ini,
“We are a nation at war with invisible forces. The situation we are now facing is unprecedented in history. This unprecedented situation of course requires unprecedented measures.
“We are not perfect, but we are doing the best we can to pull through this crisis together, as one nation. God willing, we will come out stronger when this crisis ends and the dust settles”.
Sejajar dengan itu, masyarakat kita harus bersama-sama memikul tanggungjawab membina negara dengan mengamalkan peradaban pemikiran Minda Kelas Pertama, sekiranya kita mahu melangkah jauh menjangkau status negara maju akan datang. – AlHijrah Online
Penulis adalah penganalisis politik dan sosial serta pensyarah kanan komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.