PUTRAJAYA: Program ‘Glamping With Pride’ yang dijadualkan berlangsung di Hulu Langat, Selangor hujung minggu depan dalam perhatian pihak berkuasa.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan perkara itu sememangnya berada dalam pemantauan rapi pihaknya bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Program ‘Glamping With Pride’ dianjurkan sebuah badan bukan kerajaan sebagai platform untuk memberi tumpuan kepada isu kesihatan dan hak bagi lelaki gay, biseksual serta lelaki lain yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata perlakuan seks songsang jelas bercanggah dengan prinsip serta ajaran agama, di samping bertentangan dengan nilai akhlak, tamadun dan kerangka perundangan negara.
“Pihak berkuasa memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana penganjuran atau pelaksanaan program yang didapati bercanggah dengan ajaran Islam, peruntukan undang-undang serta ketenteraman awam, dan tindakan tegas akan diambil selaras dengan undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata perbuatan sedemikian juga merupakan kesalahan di bawah undang-undang sedia ada, termasuk Seksyen 25, Akta Kesalahan Jenayah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 serta Seksyen 377A, 377B, 377C dan 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan kesalahan berkaitan seks luar tabii.
Sirajuddin berkata JAKIM akan terus melaksanakan peranan penerangan, pendidikan dan pencegahan kepada masyarakat, khususnya umat Islam, agar tidak terpengaruh atau menormalisasikan perlakuan songsang sebagai satu gaya hidup.
“Semua pihak adalah dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan menyerahkan sebarang isu berkaitan kepada pihak berkuasa agama Islam untuk tindakan selanjutnya,” katanya.—AlHijrah Online