NGO SUMBANG FACEMASK UNTUK PETUGAS TV ALHIJRAH

KUALA LUMPUR: Prihatin dengan pengamal media yang bertugas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Pertubuhan Gerakan Kesedaran Kemanusiaan Malaysia (MyMAHU) menyumbang penutup mulut dan hidung (facemask) kepada petugas bilik berita TV AlHijrah.

MyMAHU menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kedua yang menyumbang facemask kepada kakitangan TV AlHijrah selepas Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) melakukan perkara yang sama sehari sebelum PKP dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

Jurucakap MyMAHU, Nurazmeeza Ismail berkata sumbangan facemak untuk turut diedarkan kepada petugas-petugas di hospital, balai polis, lapangan terbang, penghantar makanan bermotosikal selain petugas media.

Katanya, sumbangan yang sama turut diberikan kepada petugas RTM, TV3 dan Astro.

“Kami terima sumbangan orang ramai supaya facemask ini dapat diberikan kepada kumpulan sasar #kitajagakita,” katanya kepada AlHijrah Online di lobi Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah di Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sumbangan facemask itu disampaikan kepada wakil Jabatan Berita dan Ehwal Semasa (NCA), Nor Hashimah Ismail yang juga Editor Berita dan Penerbit TV AlHijrah.

Petugas Bilik Berita TV AlHijrah pada malam 17 Mac 2020.

Sebelum ini, IMARET melalui sumbangan Klinik As-Salam menyampaikan sumbangan facemask kepada petugas NCA bagi kegunaan mereka semasa PKP dikuatkuasakan untuk membendung penularan wabak COVID-19.

Setakat ini, seramai 2,470 individu dijangkiti dengan 34 maut akibat wabak COVID-19 di Malaysia. Daripada jumlah itu 388 pesakit telah sembuh. – AlHijrah Online

Leave a Reply