REMAJA SELUDUP 25 PATI DALAM VELLFIRE

KUALA LUMPUR: Sejumlah 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap selepas polis berjaya menahan sebuah kereta jenis Toyota Vellfire yang dinaiki kesemua mereka.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata kenderaan tersebut ditahan kira-kira 12.05 tengah hari semalam selepas dikejar pihak polis kerana enggan berhenti apabila diarahkan.

“Kejadian berlaku ketika pihak polis sedang membuat rondaan di sekitar Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching dan mendapati sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire warna hitam dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Pihak polis telah mengejar Velffire tersebut dan apabila tiba di Jalan Selinsing, kenderaan terbabit telah melanggar sebuah motosikal dinaiki seorang anggota polis bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau suspek juga turut melanggar tiga buat kenderaan milik orang awam di tempat kejadian.

Hasil siasatan mendapati Vellfire itu dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 17 tahun manakala di bahagian tempat duduk belakang terdapat 19 lelaki dan enam wanita warga asing berusia 15 hingga 39 tahun.

“Semua penumpang adalah PATI dan tidak memiliki sebarang dokumen peribadi,” katanya.

Seorang lelaki warga tempatan yang merupakan rakan pemandu berjaya melari diri.

Menurut Eng Lai kenderaan tersebut bergerak dari Rantau Panjang menuju ke Kuala Lumpur semalam untuk menghantar PATI terlibat mencari pekerjaan.

Setiap PATI dikenakan bayaran RM6,000 seorang oleh penghantar (tekong) untuk tujuan tersebut.

Eng Lai berkata kesemua suspek ditahan reman bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan. – AlHijrah Online

Leave a Reply