KUALA LUMPUR: Sejumlah RM70,000 telah disalurkan kepada Surau At-Taqwa dan Ma’ahad An Noer di Kampung Chemperoh, Janda Baik untuk tujuan naik taraf dan aktiviti pendidikan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata bantuan itu diharap dapat menyediakan ruang ibadah yang selesa serta memperkukuh pusat pendidikan yang mendidik generasi muda dengan ilmu agama.
“Saya telah menyerahkan sumbangan naik taraf Surau At-Taqwa berjumlah RM50,000 melalui Yayasan Taqwa-MAIWP. Saya berkesempatan meninjau keadaan surau serta mendengar sendiri keperluan yang bakal diberi perhatian melalui dana ini.
“Sumbangan ini akan digunakan bagi kerja-kerja pembangunan dan baik pulih surau, agar ia menjadi lebih selesa, kondusif serta terus mengimarahkan syiar Islam di kampung itu,” katanya dalam kenyataan media selepas meluangkan masa bersama warga Kampung Chemperoh, Janda Baik pada Sabtu.
Dalam program tersebut beliau turut sempat menziarahi Ma’ahad An-Noer, sebuah pusat pengajian tinggi Islam dan Al-Quran yang diasaskan oleh Al-Mursyid Al-Allamah Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin bin Marbu Al-Banjari Al-Makki.
“Saya amat terharu dengan peranan besar Ma’ahad ini dalam melahirkan para ilmuan Islam dan huffaz Al-Quran yang menjadi aset berharga kepada ummah.
“Bagi menyokong usaha murni tersebut, saya telah meluluskan bantuan segera berjumlah RM20,000 untuk pelaksanaan program serta aktiviti pendidikan yang dirancang,” katanya.
Menurut Mohd Na’im sumbangan itu akan memperkukuh peranan Ma’ahad An Noer dalam mendidik generasi muda dengan ilmu agama, penghayatan Al-Quran serta membina kepimpinan berteraskan nilai Islam. — AlHijrah Online