RUMAH PANGSA JADI TEMPAT SEMBUNYI AL-QURAN TIADA KELULUSAN KDN

BUTTERWORTH: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerbu sebuah rumah pangsa yang dijadikan stor penyimpanan Al-Quran tanpa kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) KDN pada 9 Januari lepas.
Dalam serbuan di Taman Alma , Bukit Mertajam itu sebanyak 1,907 naskah Al-Quran dan 2,060 bahan Al-Quran bernilai RM160,000 berjaya dirampas.
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia 40-an yang dipercayai penjaga premis berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.
“Kita dapati premis yang diperiksa tersebut telah melakukan aktiviti pengedaran, penjualan Al-Quran dan bahan Al Quran sebagai sumber pendapatan utama dan telah menjalankan aktiviti ini sejak tahun 2022 hingga sekarang,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat KDN Pulau Pinang, di Butterworth hari ini.
Nik Yusaimi berkata, Al-Quran tanpa kelulusan itu dibimbangi kandungannya menyalahi sama ada dari segi ayat, baris dan boleh menyebabkan umat Islam salah membaca dan berlainan maksud.
Ujarnya, naskah Al-Quran yang dirampas itu didapati terdapat kandungannya yang turut dieja dalam tulisan rumi sedangkan Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini sudah mengharamkan sebarang ejaan ayat suci Al-Quran dalam tulisan rumi.
Selain itu, siasatan juga mendapati Al-Quran yang dirampas tidak mengikut resam Uthmani yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.
Siasatan turut mendapati kesemua naskah dan bahan Al-Quran itu dipercayai dibawa masuk dari Indonesia sebelum dijual menerusi platfom dalam talian, infak dan diedarkan di seluruh negara.
Nik Yusaimi berkata, semua rampasan dibuat kerana ia melibatkan kesalahan Akta Pencetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984.
Jelasnya, tujuan Ops Mulia ini dijalankan adalah bagi membanteras pengedaran, penjualan Al-Quran dan bahan Al-Quran yang terdiri daripada pelbagai bentuk yang menyalahi APTQ 1986.
Mengulas lanjut, katanya terdapat 912 jenis terbitan al-Quran yang telah diluluskan KDN sebagai pilihan sama ada untuk dijual, dimiliki ataupun diedar di kalangan masyarakat.
Justeru pihaknya menyeru masyarakat agar tidak memilih nashkah Al-Quran yang tiada kelulusan dengan menyemak perakuan dan hologram KDN pada naskah Al-Quran terlibat. – AlHijrah Online